ad
AGENDA

Sultan titah calon PRN elak burukkan orang lain, bahas cara baiki ekonomi

21 Jul 2023, 9:36 AM
Sultan titah calon PRN elak burukkan orang lain, bahas cara baiki ekonomi

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan calon serta penyokong agar tidak memburuk dan menyalahkan mana-mana pihak serta sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang disampaikan menerusi mimbar Jumaat hari ini sebaliknya menyarankan calon yang bertanding berkempen dengan berhemah dengan membentangkan polisi yang dapat merungkai masalah rakyat.

“Calon perlu menilai keupayaan dan prestasi diri masing-masing sepanjang berkhidmat kepada rakyat dan seharusnya memikirkan bagaimana membaiki ekonomi dan keharmonian masyarakat bawah pimpinan mereka.

“Sesuatu yang baik pada pihak lawan perlulah diambil sebagai contoh untuk diteladani bagi mempertingkatkan prestasi diri demi memanfaatkan masyarakat yang dipimpin khususnya umat Islam,” menurut khutbah itu.

Khutbah bertajuk Dosa mengumpat dan mencaci itu turut mengingatkan calon Islam supaya mengikut panduan agama agar tidak menyalahguna kedudukan, pangkat dan kuasa untuk kepentingan diri atau golongan tertentu.

“Apabila pemimpin Islam tiada sifat amanah dan jujur maka akan rosaklah masyarakat yang dipimpinnya hingga mengakibatkan penganut agama lain memandang rendah terhadap pemimpin Islam,” menurut khutbah itu.

Teks penuh khutbah terbitan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor boleh diperoleh menerusi pautan http://e-masjid.jais.gov.my/

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.