Oleh SHAMZ JOHAN
SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal membina 36 gerai yang dilengkapi kemudahan rekreasi di Taman Rakyat Damai Setia, Damansara Damai, Petaling Jaya.
Datuk Bandarnya berkata pembinaan itu bagi menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen di Jalan PJU 10/1 yang menimbulkan masalah kawasan kotor dan struktur binaan menghalang jalan.
"Tapak gerai ini juga akan memberi imej dan identiti baharu pada kemudahan awam dan rekreasi yang lebih selesa serta kondusif.
"Saya berharap ia akan menjadi tarikan orang ramai dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat," kata Mohamad Azhan Md Amir menerusi kenyataan.
[caption id="attachment_593872" align="alignnone" width="884"] Papan tanda projek membina tapak gerai di Taman Rakyat, Damansara Damai, Petaling Jaya. Foto Ihsan MBPJ[/caption]
Menurut beliau, MBPJ menggunakan konsep pusat peniaga berinspirasikan 'pitstop caravan' dalam taman berkeluasan 1.433 ekar dengan elemen mesra alam.
Katanya, gerai tersebut dibina merangkumi 30 petak berukuran 6x6 meter, enam petak gerai 3x3 meter dan lapan petak jualan buah-buahan.
Selain itu, ia dilengkapi 36 petak parkir kenderaan, tiga wakaf, kemudahan surau, tandas dan pondok pengawal serta tapak permainan bersepadu dengan satu ruang terbuka.