Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LANGAT, 19 JULAI: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat mengorak langkah dengan mengusahakan projek perternakan ayam daging untuk mengembangkan lagi pasaran halal.
EXCO Pembangunan Usahawan berkata pembinaan reban ayam dengan kos RM1.5 juta di Mukim Batu, Tanjung Sepat melengkapkan ekosistem perladangan ayam daging hiliran iaitu penyembelihan dan penjualan.
"Ia dilakukan dengan kerjasama Kumpulan Ramly dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Kerajaan Negeri bertindak sebagai pemudah cara dengan membawa masuk kemudahan merancang dan bekalan elektrik.
[caption id="attachment_593849" align="alignnone" width="832"] Projek Reban Ayam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di Kampung Tumbuk Darat, Mukim Batu, Kuala Langat pada 19 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
"Usaha ini juga bagi menampung perusahaan di pasaran berasaskan ayam di Selangor dan luar negeri," kata Rodziah Ismail ketika melawat tapak projek reban ayam daging di sini hari ini.
[caption id="attachment_593850" align="alignleft" width="344"] Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat merangkap pengusaha projek reban ayam Kuala Langat, Ahmad Firdaus Abdul Halim[/caption]
Turut hadir Pengerusi PPK Kuala Langat A Razak Khasbullah; Pengurus Besar PPK Kuala Langat merangkap pengusaha projek reban ayam Ahmad Firdaus Abdul Halim dan Pengarah Kumpulan Ramly Siti Hayu Ramly.
Sementara itu, Ahmad Firdaus berkata reban ayam bertutup berkeluasan 24,000 kaki persegi itu mampu menampung kira-kira 30,000 ekor ayam daging bagi satu pusingan yang dikawal teknologi peranti internet (IoT).
"Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri makanan dan teknologi, khususnya kepada ahli-ahli peladang di bawah seliaan PPK Kuala Langat dan seluruh Malaysia secara amnya," katanya.