SHAH ALAM, 19 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpas kegiatan sekumpulan individu terlibat urus niaga haram bahan api bersubsidi.
Pengarahnya Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan dengan kekuatan enam anggota di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya semalam itu turut melibatkan sitaan barangan berjumlah RM343,417.
"Sitaan melibatkan tiga pam penyedut minyak bermeter, tiga unit hos getah, sebuah lori tangki yang membawa anggaran nilai rampasan sejumlah RM222,200 manakala minyak diesel kira-kira 56,000 liter anggaran bernilai RM121,217.
"Hasil risikan yang dibuat selama dua bulan didapati wujudnya aktiviti pergerakan lori keluar masuk di kawasan sekitar premis yang disyaki dijadikan stor simpanan minyak diesel secara haram," katanya menerusi kenyataan.
Mohd Zuhairi berkata ketika serbuan tiga warga Myanmar berusia lewat 50-an yang dipercayai pemandu lori dan pekerja premis sedang membuat pengisian minyak diesel secara haram.
Menurutnya, semua suspek ditahan dan tindakan kes diambil terhadap premis dan pemandu lori berhubung kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN Selangor meminta pengguna menyalur maklumat atau sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan perlakuan perdagangan domestik menerusi saluran rasmi:
- WhatsApp 019-2794 317/ 019-848 8000
- Portal e-aduan KPDN
- Pusat panggilan 1-800-886-800
- E-mel [email protected]
- Ez ADU KPDN dan Bilik Gerakan KPDN Selangor 03 5514 4393 (setiap hari 8 pagi-6 petang)