OLEH AMIRUL FAZLI
SHAH ALAM, 19 JULAI: Golongan muda diseru menjalankan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos.
Seorang pekerja swasta, Jemindar Ab Kadir, 32, berkata mengundi pada pilihan raya adalah peluang terbaik untuk menentukan bakal pemimpin.
"Pilihan raya ada peluang terbaik untuk memilih bakal pemimpin di kawasan kita dan sebab itu pentingnya turun mengundi, "katanya.
[caption id="attachment_593787" align="alignleft" width="391"] Arif Aziz, 34[/caption]
Bagi Faiz Iskandar, 24, pula dia akan mengundi pada PRN nanti dan akan memilih calon yang boleh membantu rakyat menyediakan peluang pekerjaan.
"Ini adalah peluang generasi muda untuk memilih bakal pemimpin bagi masa hadapan yang terjamin dalam pelbagai faktor. Kita juga perlu melihat pemimpin yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai terutama anak muda," katanya.
Sementara itu, Muhammad Arif Aziz, 34, juga bersetuju bahawa mengundi adalah tanggungjawab orang ramai terutama generasi muda.
"Setiap pengundi perli melihat secara realistik pemimpin yang boleh membantu penduduk di kawasan tersebut agar kita terus menikmati masa depan yang baik," ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Hari penamaan calon pula ditetapkan serentak pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, HARAPAN mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN (empat kerusi) dan PAS (satu kerusi).