ad
AGENDA

Jaguh lompat jauh para negara raih emas di Paris, layak ke Paralimpik 2024

17 Jul 2023, 11:40 AM
Jaguh lompat jauh para negara raih emas di Paris, layak ke Paralimpik 2024

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly menempah slot secara merit ke Sukan Paralimpik 2024 selepas menjuarai kategori T20 (kecacatan intelektual) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris hari ini.

Abdul Latif menjadi atlet para kedua layak ke Paris selepas Muhammad Ziyad Zolkefli yang meraih pingat perak acara lontar peluru kategori F20 (kecacatan intelektual), mengesahkan tempat pada Jumaat lepas.

Pada aksi final lompat jauh T20 berlangsung di Stadium Charlety, atlet berusia 26 tahun itu melakukan lompatan sejauh 7.40 meter (m) pada percubaan kedua, mengatasi rekod kejohanan 7.39m yang dilakukan Ranki Oberai dari Belanda pada edisi Dubai 2019.

Abdul Latif mengulangi pencapaian pingat emas dimenanginya pada 2015 di Doha dan 2017 di London sebelum terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada 2019.

Pingat perak dimenangi Noah Vucsics dari Kanada yang melakukan 7.35m manakala Athanasios Prodromou dari Greece meraih gangsa dengan 7.12m.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa membuat ketetapan bahawa empat atlet di kedudukan teratas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 layak ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.