KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Pemberian elaun RM800 kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu membantu mereka mendepani kos perbelanjaan hidup pada masa kini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 Universiti Putra Malaysia (UPM), Fatin Amirah Mohd Hisham, berkata amaun tersebut mencukupi bagi pelajar untuk membayar kos seperti sewa tempat tinggal, makan dan tambang perjalanan ke tempat kerja.
“Saya rasa semua pelajar atau mahasiswa seluruh negara berterima kasih kepada kerajaan atas perancangan ini kerana ia memberi peluang atau memberi sedikit keselesaan kepada kami walaupun jumlah ini tidaklah terlalu banyak, namun tidaklah terlalu sikit. Kami berasa lega dengan inisiatif ini.
“Kami tidaklah mahu hidup mewah namun cukup sekadar untuk kenyang perut, kos pergi dan balik kerja atau MRT sebab ada dalam kalangan rakan tidak mendapat elaun semasa menjalani latihan industri sepanjang enam bulan. Kalau lihat semula skop tugasan berat dan sama seperti pekerja lain,” katanya.
Pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Putrajaya semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diberi elaun perantisan minimum RM800 sebulan.
[caption id="attachment_592981" align="aligncenter" width="814"] Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 14 Julai 2023. Foto Bernama[/caption]
Mengulas lanjut, Fatin yang juga Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsan, mencadangkan supaya diletakkan dasar berhubung pelajar latihan industri dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 termasuk perkara membabitkan elaun.
Katanya, peruntukan bayaran elaun untuk pelajar latihan industri juga tidak dinyatakan dalam Akta Pekerja dan mencadangkan supaya meletakkan syarat bayaran minimum kepada pelajar IPT menjalani latihan industri.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata pemberian elaun sekurang-kurangnya meringankan beban mahasiswa yang terpaksa menanggung kos untuk menjalani latihan industri yang kini banyak menjadi kewajipan untuk setiap kursus pengajian.
“Pemberian elaun (di jabatan dan agensi kerajaan) pernah cuba dilaksanakan dahulu namun antara kekangan untuk dilaksanakan ialah tiada bajet diperuntukkan kepada jabatan untuk pembayaran elaun kepada perantis atau pelajar.
“Oleh sebab itu, untuk pastikan ia dapat dilaksanakan dengan tersusun tahun hadapan, bajet boleh diletakkan terus dalam permohonan bajet setiap jabatan dan agensi bagi 2024 supaya wujudnya bajet untuk pelatih latihan industri menerima elaun sama seperti diumumkan Perdana Menteri,” katanya.
- BERNAMA