SHAH ALAM, 14 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor mempergiat kempen di media sosial sejak awal tahun bagi menarik rakyat keluar mengundi pada pilihan raya negeri ke-15 (PRN15).
Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari percaya kempen menerusi platform itu khususnya TikTok mampu memberi impak terhadap keputusan PRN membabitkan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN).
“Kita sedar selepas pilihan raya umum ke-15, kempen media sosial (HARAPAN) di belakang (lawan) dan mulai awal tahun ini kita tingkatkan (kempen menerusi media sosial).
“Setakat ini, saya tidak kata kita (HARAPAN) mendahului, tapi sekurang-kurangnya 50-50 atau 55-45,” katanya dalam program The Breakfast Grille hari ini.
[caption id="attachment_591966" align="alignnone" width="937"] Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama jentera pilihan raya DUN Sungai Tua pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
Dato’ Menteri Besar juga optimis HARAPAN dan BN mampu membentuk gabungan yang baik pada masa depan mengambil kira sokongan pengundi tradisional BN dan HARAPAN.
Malah berdasarkan kaji selidik dijalankan, penyokong HARAPAN cenderung untuk memberi undian positif kepada BN dan sebaliknya.
“Ini antara isu utama yang perlu ditangani. Kedua-dua (HARAPAN-BN) kena yakinkan pengundi untuk menyokong antara satu sama lain.
“Kita kena jelaskan visi dan terangkan kepada pengundi betapa penting untuk bersatu-padu serta bagaimana kita bersama kerajaan pusat dalam proses pemulihan selepas pandemik,” katanya.