ad
AGENDA

Dewan di-Raja Selangor lapor polis, tuntut Sanusi mohon maaf

14 Jul 2023, 11:00 AM
Dewan di-Raja Selangor lapor polis, tuntut Sanusi mohon maaf
Dewan di-Raja Selangor lapor polis, tuntut Sanusi mohon maaf

SHAH ALAM, 14 JULAI: Dewan di-Raja Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dakwaan menghina Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Aduan dibuat Datuk Emran Abdul Kadir, Tan Sri Dato' Setia Ambrin Buang, Dato Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Tan Sri Dato' Setia Mohd Zawawi Salleh dan Dato' Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Ketika ditemui pemberita di balai polis Seksyen 6 di sini, Emran yang mewakili dewan tersebut juga menuntut Menteri Besar Kedah itu segera membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Kami minta beliau (Sanusi) memohon maaf secara terbuka secepat mungkin kerana perkara ini sudah tersebar luas.

"Kami buat laporan untuk membolehkan polis jalankan siasatan dan ambil pendekatan sewajarnya ke atas kenyataan itu," katanya yang juga Orang Besar Daerah Petaling.

[caption id="attachment_592918" align="alignnone" width="847"] Orang Besar Daerah Petaling Datuk Emran Abdul Kadir bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 14 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Dewan di-Raja Selangor dipengerusikan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Dewan itu dianggotai 23 ahli termasuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Tengku Amir Shah dan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Emran menegaskan ucapan Sanusi dalam program anjuran Perikatan Nasional di Selayang pada 11 Julai tidak wajar dan sensitif kerana menyentuh institusi raja di Selangor.

"Kenyataan beliau (Sanusi) kita anggap sebagai menghina institusi raja di Selangor kononnya pelantikan Dato' Menteri Besar (Amirudin) itu seolah-olah tidak wajar.

"Tuanku boleh melantik sesiapa sahaja untuk jadi Dato' Menteri Besar asalkan pemimpin berkenaan daripada pemenang undi yang paling banyak, itu (termaktub) dalam perlembagaan.

"Jadi, Tuanku telah melantik tepat sepertimana menteri besar sekarang seorang pemimpin yang dapat majoriti di Dewan Negeri Selangor, tidak patut dipersoal," katanya.

Semalam, Amirudin mengecam Sanusi kerana menghina DYMM Sultan Selangor berikutan pemimpin Pas berkenaan menyentuh perkenan Baginda terhadap pelantikannya sebagai Dato’ Menteri Besar.

Berdasarkan rakaman yang tular di media sosial, Sanusi menyebut: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia macam Amir(udin).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.