ad
AGENDA

Subsidi RM300 tiket penerbangan pelajar IPTA ke Sabah, Sarawak, Labuan

12 Jul 2023, 10:56 AM
Subsidi RM300 tiket penerbangan pelajar IPTA ke Sabah, Sarawak, Labuan

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Kerajaan memperkenalkan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan bermula 15 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik.

“Bantuan subsidi tiket penerbangan tersebut hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal dan tempat pelajar sedang menuntut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke berkata inisiatif yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini itu bakal memanfaatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.

Beliau berkata sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada jumlah RM300 itu, baki baucar digital itu boleh digunakan bagi pembelian tiket seterusnya.

Loke berkata baucar tersebut hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly serta MYAirline dan tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober tahun ini.

"Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan," katanya.

Beliau berkata untuk memohon bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu, pelajar universiti awam perlu membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan kemudian.

“Sekiranya tidak layak, boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing atau membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan yang dipilih,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.