ad
AGENSI

Ratusan penduduk kunjungi jualan murah, program terus dapat sambutan

11 Jul 2023, 6:21 AM
Ratusan penduduk kunjungi jualan murah, program terus dapat sambutan

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 11 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda di sini mendapat sambutan ramai apabila dikunjungi lebih 400 orang sejak awal pagi.

Pegawai Gudang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Samsiyah Samsudin berkata program berkenaan kian dikenali penduduk dan sentiasa dinantikan pada setiap penganjuran.

"Setakat ini, jualan lancar dan teratur, malah kerjasama bersama Parlimen juga baik. Kebanyakan rakyat Selangor sudah maklum program ini, jadi kita dapat lihat sambutan meningkat," katanya.

Jualan murah itu menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program yang berlangsung sehingga Disember ini diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.