ad
AGENDA

Selangor cemerlang di bawah HARAPAN, model kepada negeri lain

10 Jul 2023, 3:48 AM
Selangor cemerlang di bawah HARAPAN, model kepada negeri lain

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 10 JULAI:  Prestasi cemerlang Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak tiga penggal lalu akan digunakan sebagai modal kempen pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan pengarah pilihan raya pusat berkata kejayaan dari segi pertumbuhan ekonomi wajar dijadikan model kepada negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk bagaimana Selangor menangani isu dengan baik dan tuntas.

"Pendekatan ini juga bagi meraih sokongan pengundi di negeri ini yang rata-rata terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi.

“Kita akan manfaatkan tempoh berkempen sebarkan kepada pengundi termasuk pengundi di negeri lain seperti Kelantan dengan jadikan Selangor sebagai bahan cerita dan bukti sahih bagaimana pentadbiran dilakukan.

“Kalau orang tanya kenapa ambil Selangor (sebagai contoh), kita lihat masalah yang berlaku dalam negara, Selangor juga tidak terkecuali. Tetapi yang buktikan kebaikan Selangor adalah kita tangani banjir, masalah Covid-19 secara tuntas dan ia dapat diselesaikan sebaik mungkin,” kata Rodziah Ismail.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya dan bilik gerakan utama Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di sini, malam tadi.

Tambah penyandang kerusi DUN Batu Tiga itu berkata sebagai sebahagian daripada EXCO Kerajaan Negeri, beliau dapat melihat bagaimana peningkatan pentadbiran berjalan menerusi pelbagai agenda untuk rakyat.

Mengulas mengenai kerjasama bersama Barisan Nasional (BN),  Rodziah berkata kedua-dua gabungan itu akan berganding tenaga berkempen menerusi pelbagai platform khususnya media sosial dalam memenangi hati pengundi.

“Kita telah capai kesepakatan untuk bergerak bersama dengan tampilkan HARAPAN dan BN dalam semua kempen. Kita bersyukur momentum bergerak dengan baik di peringkat negeri dan kini kita fokus di peringkat cabang dan Parlimen masing-masing.

“Kita harap dengan kesepakatan ini undian penyokong BN diberikan sepenuhnya kepada HARAPAN agar kita dapat wujudkan Kerajaan Perpaduaan di Selangor dan tolak kehadiran Perikatan Nasional (PN) di negeri ini,” katanya.

Selangor yang mempunyai 3,747,057 pengundi bakal mengadakan PRN serentak dengan lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang. Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos depan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  HARAPAN mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN dan PAS yang masing-masing meraih empat serta satu kerusi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.