ad
AGENDA

Liga Super: Pahang gugat kedudukan Selangor, menang tipis 1-0

10 Jul 2023, 12:02 AM
Liga Super: Pahang gugat kedudukan Selangor, menang tipis 1-0

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Sri Pahang FC memberi tentangan sengit kepada Selangor FC dalam carta Liga Super 2023 selepas menang tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Jaringan tunggal dicipta pemain import Filipina, Kevin Ingreso pada minit ke-50 sudah memadai buat skuad Tok Gajah menyamakan pungutan 34 mata selepas 16 perlawanan di tangga ketiga manakala Selangor di tangga kedua dengan kelebihan jumlah jaringan.

Bagaimanapun, Selangor yang ketinggalan cuba mengandakan usaha bagi memburu gol penyamaan pada babak kedua perlawanan, namun benteng pertahanan skuad tuan rumah kendalian Ahmad Fandi kental sehingga penghujung perlawanan.

Sementara dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya membalas dendam apabila mengalahkan PDRM FC 2-0.

KDA FC sebelum ini tewas 0-1 kepada PDRM FC, Mac lalu.

Pada perlawanan semalam, gol pendahuluan perlawanan bagaimanapun hanya muncul di minit ke-79 hasil jaringan penalti Ifedayo Olusegun sebelum Lee Tuck menambah jaringan kedua skuad Sang Kenari di masa kecederaan juga menerusi penalti.

Kemenangan tersebut membolehkan KDA FC memintas Sabah FC di kedudukan keempat liga dengan mengutip 31 mata manakala PDRM FC di tangga kelapan dengan 22 mata.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.