ad
AGENDA

Rakyat Malaysia kerugian RM302 juta akibat penipuan di Facebook, Instagram

9 Jul 2023, 10:41 AM
Rakyat Malaysia kerugian RM302 juta akibat penipuan di Facebook, Instagram

KULAI, 9 JULAI: Rakyat Malaysia mengalami kerugian mencecah RM302 juta akibat menjadi mangsa penipuan dalam talian menerusi platform Facebook (FB) dan Instagram (IG) bagi tempoh 2021 sehingga Jun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata kerugian yang direkodkan menerusi penipuan yang mengguna pakai platform Facebook ialah RM232 juta manakala Instagram RM70 juta.

"Kami juga telah mengadakan pertemuan dengan Meta (Facebook dan Instagram) jadi kami memang hendak buktikan bahawa masalah penipuan ini yang mengguna pakai platform mereka memang isu serius.

"Untuk rekod di Facebook bagi 2021, jumlah kerugian yang direkodkan adalah RM80 juta dan RM92 juta (2022) tetapi tahun ini sehingga Jun, sudah merekodkan kerugian RM60 juta.

"Instagram pula, walaupun jumlah lebih kecil namun pada 2021, kerugian adalah RM20 juta, diikuti RM25 juta (2022) manakala bagi tempoh enam bulan tahun ini direkodkan sama (seperti tahun lepas) iaitu RM25 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi menyerahkan sumbangan bernilai RM6,000 kepada Ultimate MMA Fitness & Self Defense di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Teo menasihati pengguna media sosial lebih peka dan menjadi digital literasi atau kebijaksanaan digital untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

"Kita juga sudah hantar satu mesej yang sangat jelas kepada wakil mereka (Meta) semasa perjumpaan baru-baru ini dan mereka (Meta) berjanji untuk menambah baik usaha daripada segi ini dan kita nampak usaha ini supaya isu scammer ini tidak berleluasa,” kata Ahli Parlimen Kulai itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.