ad
AGENDA

Waris fahami kesukaran pihak berkuasa cari mangsa ke-10 tragedi kepala air

8 Jul 2023, 3:18 PM
Waris fahami kesukaran pihak berkuasa cari mangsa ke-10 tragedi kepala air

CHUKAI, 8 JULAI: Walaupun memahami kesukaran dihadapi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) namun ibu saudara kepada seorang lagi mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, di Kemaman, berharap anggota keselamatan tidak berputus asa meneruskan pencarian.

Memasuki hari ketujuh operasi SAR, Putri Nor Fatin Karim, 14, adalah seorang daripada 10 mangsa tragedi kepala air yang masih belum ditemukan.

Rosilawati Yasin, 49, berkata mereka sekeluarga tetap menunggu ‘kepulangan’ anak saudaranya dan berharap remaja perempuan itu segera dijumpai.

“Kami setia menunggu, harapnya dia (Putri Nor Fatin) dapat ditemukan. Macam mana keadaan dia sekali pun, kami tetap nak bawa balik. Sebolehnya pergi (berkelah) mereka bersepuluh, kami nak balik mereka pun bersepuluh.

“Namun, kami faham kepenatan dan susah payah yang dihadapi pasukan pencarian. Kalau jumpa hari ini atau esok, itu rezeki kami sekeluarga,” katanya yang juga adik ipar kepada korban pertama ditemukan pada Ahad, Azizah Eiyi, 40.

Operasi SAR hari ini melibatkan 250 anggota dari pelbagai agensi serta dibantu empat anjing pengesan K9 'bertarung' dengan masa bagi mencari Putri Nor Fatin, dengan fokus pencarian tertumpu di sektor A.

Dalam tragedi 1 Julai lalu, Putri Nor Fatin, bersama bapanya Karim Abdullah, 39, dan ibunya Azizah, serta enam lagi adik-beradiknya dari Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang berkelah di jeram berkenaan.

Turut serta ialah Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang juga tunang kepada kakak Putri Nor Fatin sebelum mereka dihanyutkan arus deras kepala air.

Sembilan daripada mereka telah ditemukan sehingga semalam, selamat dikebumikan pada Selasa dan Rabu, manakala Muhammad Fikri dikebumikan pada 7 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Batu Pahat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.