ad
AGENDA

Jentera HARAPAN tumpu sebar kejayaan negeri sepanjang penggal tadbir Selangor

8 Jul 2023, 4:27 AM
Jentera HARAPAN tumpu sebar kejayaan negeri sepanjang penggal tadbir Selangor
Jentera HARAPAN tumpu sebar kejayaan negeri sepanjang penggal tadbir Selangor
Jentera HARAPAN tumpu sebar kejayaan negeri sepanjang penggal tadbir Selangor

SHAH ALAM, 8 JULAI: Jentera Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh menjelang pilihan raya negeri (PRN) untuk menyebarkan kepada pengundi dan rakyat di Selangor berkenaan kejayaan dicapai sepanjang penggal pentadbiran pakatan itu.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata segala pencapaian dicatatkan kerajaan negeri akan digunakan sebagai bahan kempen pada PRN dalam meraih sokongan rakyat di Selangor yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendidikan dan profesional.

[caption id="attachment_591684" align="aligncenter" width="749"] Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Selangor Mohd Yahya Mat Sahri. Foto BERNAMA[/caption]

"Tidak berguna berkempen dengan memberi tohmahan, tiada untung. Lebih baik fokus kepada apa yang kita sudah buat (lakukan) dan apa yang kita akan buat, saya rasa orang di Selangor lebih terima itu," katanya kepada Bernama.

Mohd Yahya berkata keupayaan HARAPAN mentadbir Selangor jelas terbukti selepas berjaya menyumbang lebih satu perempat daripada ekonomi negara atau 25.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun lepas.

"Ia bukan data dikeluarkan sembarangan, ia cukup terbukti, itu fakta. Kita tunjuk prestasi yang jauh lebih baik, sebab itu dengan inisatif kita (HARAPAN Selangor) sejak dari awal memang merakyatkan ekonomi dan sentiasa mendahulukan rakyat," katanya.

[caption id="attachment_591639" align="aligncenter" width="742"] Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan sempena Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Mengulas mengenai rakan kerjasama Barisan Nasional (BN), beliau berkata kedua-dua parti, HARAPAN dan BN telah mencapai kesepakatan untuk bergerak seiringan bagi mencapai matlamat sama iaitu untuk memenangi pilihan raya.

"Di peringkat HARAPAN dan BN, selepas pimpinan Pusat serta negeri dah capai sepakatan untuk terus bergerak sama, kita terus bina satu komuniti. Alhamdulillah, kami okey sahaja dan tidak timbul isu. Seperti hari ini kita berbincang berkaitan pilihan raya, tidak sampai 20 minit sudah dapat kata sepakat," katanya.

Mengenai keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut, beliau berkata pihaknya percaya pengundi di Selangor sangat terbuka malah di peringkat Jawatankuasa Pilihan Raya HARAPAN menyasarkan untuk menawan 51 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Selangor yang mempunyai sebanyak 3,747,057 pengundi bakal mengadakan PRN serentak dengan lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), HARAPAN mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas. Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.