ad
AGENDA

Waspada taktik menyamar pegawai polis mohon sumbangan menerusi telefon, WhatsApp

2 Jul 2023, 2:30 PM
Waspada taktik menyamar pegawai polis mohon sumbangan menerusi telefon, WhatsApp

KUANTAN, 2 JULAI: Polis meminta orang ramai untuk berwaspada dengan taktik penipu yang menyamar sebagai pegawai polis bagi meminta sumbangan wang tunai menerusi panggilan telefon atau pesanan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar menerusi kenyataan di sini hari ini, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penipuan itu yang kononnya sumbangan terbabit akan digunakan bagi penganjuran program melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu.

"Suspek dikatakan memperkenalkan diri sebagai Tuan Nik atau Tuan Syukri serta menggunakan gambar profil lelaki mengenakan pakaian seragam polis. Suspek didapati menjadikan ahli perniagaan di sekitar Bentong sebagai sasaran," katanya.

Zaiham berkata suspek juga didapati menggunakan tiga akaun bank berbeza untuk mangsa memberikan sumbangan.

Sehubungan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga meminta mereka yang menerima panggilan atau pesanan serupa untuk menghubungi IPD Bentong menerusi talian 09-222 2222 atau ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.