ad
AGENDA

Tengku Amir Shah berkenan solat sunat Aidiladha bersama rakyat

29 Jun 2023, 1:38 AM
Tengku Amir Shah berkenan solat sunat Aidiladha bersama rakyat

SHAH ALAM, 29 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Tengku Amir Shah yang mengenakan baju Melayu berwarna kelabu tiba kira-kira jam 8 pagi, disambut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Solat sunat dihadiri kira-kira 7,000 jemaah dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya yang turut membaca khutbah bertajuk ‘Iduladha Suatu Pengorbanan’.

Beliau dalam khutbahnya mengajak umat Islam mengambil iktibar pengorbanan Nabi Ibrahim dalam mentaati perintah Allah SWT supaya menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail.

“Nabi Ibrahim memberitahu anaknya akan perintah Allah SWT tersebut dan Nabi Ismail menerimanya dengan penuh ketaatan yang tidak berbelah bagi.

“Pengorbanan kedua-duanya itu lantas dibalas dan diganti oleh Allah SWT dengan binatang sembelihan yang besar,” katanya.

Selesai solat dan khutbah, Baginda berkenan ke majlis santapan sebelum berangkat pulang kira-kira jam 9.15 pagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.