ad
AGENDA

Jeddah jadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA 2023

27 Jun 2023, 2:40 AM
Jeddah jadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA 2023

ANKARA, 27 JUN: Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kedua-duanya mengesahkan pada Isnin Piala Dunia Kelab FIFA 2023 akan berlangsung di bandar Jeddah, Arab Saudi.

Keputusan itu dibuat berikutan lawatan delegasi FIFA ke Jeddah untuk menilai persiapan berterusan bagi kejohanan tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 22 Disember.

"Kami gembira kerana Jeddah dengan kemudahan terkini dan reputasinya untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa utama telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Piala Dunia Kelab FIFA.

“Sukan adalah pemacu utama transformasi berterusan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030, yang menjadikan negara itu sebagai satu daripada negara yang paling pesat berkembang dan paling menarik dalam sukan dunia," lapor Agensi Anadolu memetik Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal.

Piala Dunia Kelab FIFA akan menjadi kejohanan sulung yang diadakan di Arab Saudi.

Diperkenalkan pada 2000, Piala Dunia Kelab kali terakhir dimenangi oleh Real Madrid pada 2022.

Pertandingan mengikut format kalah mati diadakan dalam kalangan pemenang Liga Juara-Juara AFC (Asia), Liga Juara-Juara CAF (Afrika), Piala Juara-Juara CONCACAF (Amerika Utara, Tengah dan Caribbean), CONMEBOL Libertadores (Amerika Selatan), Liga Juara-Juara OFC. (Oceania) dan Liga Juara-Juara UEFA (Eropah), bersama-sama juara kebangsaan negara tuan rumah.

-BERNAMA-AGENSI ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.