ad
ADN

Lebih 5,000 keluarga di DUN Seri Setia dapat manfaat program jualan murah

19 Jun 2023, 9:21 AM
Lebih 5,000 keluarga di DUN Seri Setia dapat manfaat program jualan murah
Lebih 5,000 keluarga di DUN Seri Setia dapat manfaat program jualan murah

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 19 JUN: Lebih 5,000 keluarga khasnya berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima manfaat menerusi program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri.

Lebih 20 kali dianjurkan sejak tahun lalu, wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berharap Jualan Ehsan Rahmah (JER) diteruskan bagi membantu lebih ramai rakyat membeli keperluan asas pada harga murah.

“Terima kasih Kerajaan Negeri atas penganjuran ini yang memanfaatkan bukan sahaja B40, malah seluruh rakyat Selangor. Rata-rata pengunjung berharap ia dapat diteruskan,” katanya.

[caption id="attachment_587996" align="aligncenter" width="760"] Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar membantu mengangkat telur dan beras yang dibeli salah seorang pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tapak pasar tani Kelana Jaya pada 19 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI[/caption]

Beliau ditemui pada program tersebut di tapak pasar tani Kelana Jaya di sini hari ini, yang dihadiri lebih 400 pengunjung untuk membeli barangan harian seperti ayam, daging dan beras.

Program jualan murah barangan asas yang dimulakan akhir tahun lalu menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran, sekali gus membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Memanfaatkan lebih dua juta pengunjung, inisiatif tersebut diteruskan hingga 1 September, kali ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.