ad
AGENDA

EXCO: Pusat senggara pesawat Dassault Aviation siap akhir tahun, hab teknologi serantau

18 Jun 2023, 5:17 AM
EXCO: Pusat senggara pesawat Dassault Aviation siap akhir tahun, hab teknologi serantau

SHAH ALAM, 18 JUN: Pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat perniagaan milik syarikat Dassault Aviation yang dibangunkan di Lapangan Terbang Subang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Dibina atas tapak seluas 144,000 kaki per segi, EXCO pelaburan memaklumkan pembangunan pusat penyenggaraan oleh syarikat gergasi aeroangkasa Perancis itu giat berjalan dengan jangkaan operasi pada penggal pertama tahun depan.

“Ini satu perkembangan memberangsangkan untuk industri aeroangkasa Selangor dan Malaysia kerana Dassault adalah pembuat pesawat kedua terbesar di dunia.

“Dengan kehadiran pusat MRO berkenaan, ia akan memperkukuh lagi kedudukan Selangor sebagai hab terknologi serantau. Semua jenis pesawat jenis Dassault akan datang ke lapangan terbang berkenaan untuk diselenggara,” kata Dato’ Teng Chang Khim kepada Selangorkini.

Sebelum ini, beliau berkata kemudahan baharu bernilai RM100 juta itu dijangka mampu memuatkan sembilan unit pesawat jenis Falcon 8X dan tujuh unit Falcon 10X apabila siap.

Sementara itu, Chang Khim berkata beliau bersama Invest Selangor Berhad berkesempatan melawat kilang Dassault Aviation di Bordeaux, Perancis semalam bagi memahami lebih mendalam operasi syarikat selain pemasangan dan pengurusan pesawat.

“Kita dapat lihat pengurusan operasi di kilang Dassault dan di situ juga menjadi tempat pemasangan pesawat persendirian atau jet perniagaan jenis Falcon 8X dan Falcon 2000.

“Pemahaman ini penting apatah lagi Dassault sedang dalam proses membina MRO Asia Pasifik di Subang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.