ad
AGENDA

Dana RM30 juta setahun sedia Bas Smart Selangor, manfaat lebih 61 juta pengguna

15 Jun 2023, 6:53 AM
Dana RM30 juta setahun sedia Bas Smart Selangor, manfaat lebih 61 juta pengguna

SHAH ALAM, 15 JUN: Selangor membelanjakan antara RM25 hingga RM30 juta setahun sejak 2016 bagi menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkhidmatan yang ditawar percuma kepada rakyat tempatan memanfaatkan lebih 61 juta pengguna sejak dilancar.

"Perkhidmatan ini membantu melengkapkan kitaran segmen awal dan segmen terakhir (first mile last mile) pengangkutan awam"

"Ada juga beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkolaborasi dengan pihak swasta membekalkan pengangkutan mikromobiliti seperti e-skuter dan beam untuk menambah baik sistem pengangkutan awam negeri," katanya.

Beliau berkata pada majlis perasmikan Forum Selangor Mobiliti anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini hari ini.

Selain rakyat tempatan, Bas Smart Selangor turut disediakan kepada warga asing namun perlu membayar 90 sen mulai 15 Mac lalu menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat).

Dalam pada itu, Amirudin berkata pelbagai inisiatif diperkenal bagi memastikan perubahan terhadap pengangkutan awam negeri termasuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai pilihan utama rakyat pada masa depan.

Beliau memaklumkan inisiatif itu meliputi pembangunan projek transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa 3 (MRT3) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.