ad
AGENDA

Kerjasama HARAPAN-BN selepas PRU15 untuk pulihkan negara

10 Jun 2023, 2:35 AM
Kerjasama HARAPAN-BN selepas PRU15 untuk pulihkan negara

KUALA SELANGOR, 10 JUN: Kerjasama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu kerana mahu memulihkan negara.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan 19 parti itu bertujuan memulihkan segala kerosakan dibuat oleh pentadbiran lalu.

“Saya tahu mungkin ada rasa janggal dan kurang selesa kerana dahulu bertentang dengan BN tetapi sekarang duduk sama-sama untuk kepentingan negara.

“Ini kerana negara kita kini simpanan sudah banyak habis, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin berkurang, kita kena pulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Minum Petang Perpaduan Kita Selangor peringkat Parlimen Tanjong Karang semalam.

Amiruddin yang juga menteri besar Selangor menambah gabungan itu telah menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa termasuk golongan muda.

“Negara kita mahu runtuh dan kita kena bangunkan semula. Kerajaan bertanggungjawab bantu orang miskin dan susah.

“Kerajaan hari ini dengan konsep madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bantu ribuan orang yang jatuh muflis disebabkan Covid-19 membolehkan mereka untuk berniaga, bekerja dan menyimpan semula di dalam bank. Ini cara kerajaan selesaikan masalah,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.