AGENDA

Pengurus restoran teruja PM singgah makan, sifatkan kenangan seumur hidup

9 Jun 2023, 12:08 PM
Pengurus restoran teruja PM singgah makan, sifatkan kenangan seumur hidup
Pengurus restoran teruja PM singgah makan, sifatkan kenangan seumur hidup

Oleh Shamz Johan

AMPANG, 9 JUN: Seorang pengurus restoran menyifatkan kunjungan Perdana Menteri untuk menikmati makan tengah hari adalah pengalaman yang sangat berharga.

Berkongsi perasaannya, Vimal Ignatius berkata dia pada mulanya sedikit gementar tetapi teruja apabila diberitahu mengenai kedatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim petang semalam.

“Sedikit gementar namun bangga sebab bukan selalu dapat berjumpa Perdana Menteri, saya anggap ini pengalaman sekali seumur hidup.

“Seramai 30 petugas membuat persiapan sejak jam 9 pagi, kami menyediakan hidangan istimewa iaitu kari kepala ikan bersama nasi dalca, sotong dan udang kari,” katanya yang merupakan pengurus restoran Q Bistro cawangan Bangsar.

Ujarnya, lebih menarik apabila hidangan istimewa tersebut dimasak sendiri pengurus cawangan Ampang, Mydheen Kani.

Pengurus restoran Vimal Ignatius (kiri) bersama penyelia restoran Nuzeita Hashim di restoran Q Bistro cawangan Ampang pada 9 Jun 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Sementara itu, penyelia restoran Nuzeita Hashim menyifatkan pemimpin nombor satu negara itu seorang yang mesra dan rendah diri.

“Beliau tidak kekok bertegur sapa dengan pelanggan lain dan tidak menolak pelawaan untuk mengambil gambar bersama orang ramai,” katanya.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr Ani Ahmad dan Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim.

Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.