ad
AGENDA

Dua suspek kes pecah rumah serang polis guna parang ditembak mati

8 Jun 2023, 2:57 AM
Dua suspek kes pecah rumah serang polis guna parang ditembak mati

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Polis menembak mati dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Taman Supreme, Cheras dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri selepas suspek yang disyaki warga asing cuba menyerang polis menggunakan parang.

Beliau berkata terdahulu, kehadiran mereka dan dua lagi rakan disedari sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ketika melakukan rondaan di lokasi kejadian kira-kira 3.30 pagi.

Menurut Mohd Shuhaily bagaimanapun dua rakan berkenaan berjaya melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan pecah rumah seperti parang dan pemotong besi. Sehubungan itu, polis sedang giat mengesan dua lelaki yang berjaya melarikan diri itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.