ad
AGENDA

Tiga lelaki menyamar polis di Lebuhraya Utara-Selatan dicari

5 Jun 2023, 1:30 PM
Tiga lelaki menyamar polis di Lebuhraya Utara-Selatan dicari

JOHOR BAHRU, 5 JUN: Polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan itu yang mengejar sebuah kenderaan di Kilometer 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai seperti ditularkan di media sosial hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan berhubung video berdurasi 27 saat itu daripada seorang anggota polis pada 1.52 tengah hari.

"Satu video dimuat naik pemilik akaun 'Freeman Gan WT' di laman Facebook memaparkan dirinya dikejar sebuah kereta yang menyamar sebagai pasukan polis semasa mangsa dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya.

"Suspek dipercayai tiga lelaki memakai pelitup muka dan menggunakan lampu beacon biru seakan pasukan polis cuba menahan mangsa dengan membuat isyarat tangan agar mangsa memberhentikan kenderaan dipandu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, mangsa belum hadir ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian itu.

Yusof berkata polis masih mengesan pemilik kedua-dua kenderaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau menghubungi talian 07-6637 222 atau pegawai penyiasat di talian 010-7647 789.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.