ad
AGENDA

300 penduduk beratur sejak 7.30 pagi, 500 ayam habis di jualan PKPS

4 Jun 2023, 6:40 AM
300 penduduk beratur sejak 7.30 pagi, 500 ayam habis di jualan PKPS
300 penduduk beratur sejak 7.30 pagi, 500 ayam habis di jualan PKPS

Oleh Shamz Johan

PETALING JAYA, 4 JUN: Lebih 300 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara beratur sejak jam 7.30 pagi pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) walaupun jualan bermula lewat akibat hujan lebat.

Sebanyak 500 ayam habis dijual dalam tempoh satu jam setengah selepas dibuka pada program di Dewan Budiman, Taman Subang Baru di sini hari ini.

Wakil rakyatnya Shatiri Mansor berkata pihaknya kerap mengadakan jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berikutan permintaan tinggi penduduk.

"Kita dapat maklum balas positif dan penduduk minta supaya diadakan lebih kerap program jualan murah ini.

"Ramai berpuas hati kerana inisiatif Kerajaan Negeri ini banyak membantu mereka menjimatkan perbelanjaan dan menangani kos sara hidup yang tinggi," katanya.

[caption id="attachment_584959" align="alignnone" width="760"] Penduduk DUN Kota Damansara mengambil kesempatan membeli barangan keperluan dapur pada Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Budiman, Taman Subang Baru pada 4 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI[/caption]

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga awal Disember tahun lepas dengan nilai jualan melebihi RM16 juta.

Susulan sambutan menggalakkan, jualan murah yang sepatutnya berakhir pada Mei diteruskan hingga 1 September ini.

Orang ramai boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.