ad
AGENDA

KKM bincang garis panduan baharu Covid-19 pertengahan Jun ini

1 Jun 2023, 8:22 AM
KKM bincang garis panduan baharu Covid-19 pertengahan Jun ini

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan mesyuarat pertengahan Jun ini, bagi membincangkan garis panduan baharu prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berikutan pengumuman penamatan status kecemasan kesihatan global Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang pengumuman dengan mengambil kira Malaysia yang masih ditetapkan di bawah Kawasan Jangkitan Tempatan yang berakhir 30 Jun ini.

“Jadi, pada pertengahan Jun nanti kita akan meneliti SOP dan lihat bagaimana kita boleh membuat kemas kini daripada situ,” katanya ditemui selepas pelancaran Kuala Lumpur Wellness City (KLWC) di galeri jualan KLWC di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata pindaan terhadap SOP berkenaan termasuk membabitkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam.

“Kita perlu lihat sama ada trend kes (Covid-19) kerana ia sesuatu yang kita tidak boleh jangka, contohnya kita mungkin berdepan lonjakan kes ketika musim perayaan jadi kita perlu menguruskannya, dan selepas itu barulah kita putuskan,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran KLWC, beliau berkata ia menandakan satu langkah berani ke arah mewujudkan masyarakat yang mampan dan inklusif dengan meletakkan keutamaan terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Inisiatif berwawasan ini mewakili komitmen untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik ke arah membina sebuah negara lebih sihat, yang mengiktiraf kesalinghubungan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial,” katanya.

KLWC merupakan projek perbandaran khas pertama dibina di Asia Tenggara bagi memupuk gaya hidup bersepadu sepenuhnya dengan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11 bilion merangkumi lebih 10.72 hektar tanah.

Projek berkenaan menampilkan ekosistem lengkap untuk kesejahteraan dan kesihatan seperti The Nobel Healthcare Park, Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH), makmal inovasi, fasiliti penyelidikan klinikal dan pembangunan, menara pejabat penjagaan kesihatan, pusat peranginan pesara, hab penjagaan kesihatan dan taman berasaskan kecergasan.

Dr Zaliha turut mengulangi pendirian KKM untuk menyokong inisiatif dipacu oleh sektor swasta seperti KLIH dalam meningkatkan industri pelancongan kesihatan negara supaya dapat bersaing dengan negara pesaing seperti Thailand dan Singapura.

Pengarah Urusan KLWC Datuk Dr Colin Lee dalam kenyataan berkata projek berkenaan bertujuan menyokong rancangan rasional Malaysia untuk diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan.

“KLWC direka bentuk untuk menyediakan dan mengutamakan kesihatan serta kesejahteraan sebagai nadi pembangunan, melalui visi hab kesihatan 360 darjah berpusat di sekitar perbandaran merangkumi semua aspek penjagaan perubatan, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan dan perniagaan lengkap dengan kediaman, runcit dan komersial,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.