SHAH ALAM, 1 JUN: Tiga banduan dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana meliwat rakan sepenjara di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Februari lalu.
Tertuduh Muhammad Tarmizi Mohd Sandy, 25, Wan Zulharie Wan Mustapha, 32 dan Mohamad Ariff Emeran, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan itu, ketiga-tiga banduan didakwa dengan sengaja membuat persetubuhan bertentangan aturan tabii dengan mangsa yang sama, berusia 26 tahun, lapor Berita Harian.
Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Ketiga-tiga tertuduh menerusi rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan. Mahkamah kemudian menetapkan penjara lima tahun dan satu sebatan berikutan kesalahan itu serius.
Untuk rekod, kesemua tertuduh sebelum ini menjalani hukuman berkaitan kes dadah.