SHAH ALAM, 1 JUN: Pengurusan kenduri sebelum berangkat ke tanah suci dikenal pasti antara faktor menyebabkan keletihan dan kelesuan dalam kalangan jemaah haji Malaysia.
Pakar kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata acara makan-makan dianggap satu kebiasaan jika seseorang terpilih untuk mengerjakan ibadah, lapor Astro Awani.
"Budaya Melayu khususnya gemar membuat persediaan, kenduri dan makan-makan sebelum berangkat. Melayan tetamu, membuat persediaan kenduri lazimnya menuntut tenaga dan boleh meletihkan fizikal.
"Jemaah sepatutnya menyimpan tenaga kerana walaupun kesihatan baik sebelum ke tanah suci, tetapi keadaan itu mungkin berubah apabila mereka di sana," kata Dr Muhamad Kairul Aneeza Zakaria.
Beliau yang juga pengurus kanan kesihatan Lembaga Tabung Haji menambah faktor lain termasuk cabaran menguruskan perjalanan, selain perubahan masa antara Malaysia dengan Arab Saudi.
Berikutan itu, beliau menasihatkan jemaah untuk membuat persediaan rapi dan memiliki daya ketahanan tinggi terhadap cabaran yang harus ditempuhi semasa menunaikan haji.
Musim haji tahun ini membawa cabaran besar buat lebih 31,000 jemaah Malaysia berikutan cuaca panas di Arab Saudi, yang dijangka boleh mencecah 50 darjah Celsius.