ad
AGENDA

PM: Penganjuran Minggu Perpaduan semarak semangat rakyat

21 Mei 2023, 11:53 PM
PM: Penganjuran Minggu Perpaduan semarak semangat rakyat

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Penganjuran Minggu Perpaduan adalah penting dalam menyemarakkan semangat rakyat di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata selain itu, ia mampu menyebarkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan berkaitan kepelbagaian budaya serta segmen kenegaraan yang menerapkan semangat patriotisme kepada rakyat Malaysia.

Menerusi catatan di laman Facebook, Perdana Menteri memaklumkan beliau menghadiri majlis Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan di Kuching semalam.

“Saya kagum dengan pelbagai persembahan disaluti elemen perpaduan yang turut dihayati rakyat jelata kendatipun cuaca panas di Kuching,” katanya.

Perasmian majlis itu, yang bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian,’ disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis penuh keharmonian itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Minggu Perpaduan 2023, yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mei, turut diadakan di 15 lokasi antaranya Dataran Bertam di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar di Sabah, Dataran Tasik Kluang di Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan di Pahang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.