ad
AGENDA

Pemuda rugi RM90,000 ditipu ejen jualan kereta

21 Mei 2023, 9:50 AM
Pemuda rugi RM90,000 ditipu ejen jualan kereta

KUALA LUMPUR 21 MEI: Lelaki tempatan berputih mata setelah kehilangan RM90,000 dipercayai ditipu seorang ejen jualan kereta pada 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata lelaki berusia 36 tahun itu berurusan dengan suspek berkaitan jual beli kenderaan jenama Honda HRV.

Beliau berkata suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang bekerja di sebuah syarikat kenderaan terkemuka di Jalan Damansara.

"Pada 9 Januari lalu, mangsa membuat bayaran wang tempahan RM500 kepada suspek dan bayaran itu diserahkan kepada pihak syarikat. Pada 29 April hingga 4 Mei lepas, pengadu telah membuat pembayaran wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan suspek.

"Namun begitu, pada 11 Mei, pengadu menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan pihak mereka masih belum menerima bayaran pendahuluan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata mangsa turut dimaklumkan suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka dan pihaknya telah mengenal pasti suspek untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSC) di talian 997, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.