ad
AGENDA

Tangani isu 3R elak lebih serius, ganggu keharmonian negara

19 Mei 2023, 12:30 AM
Tangani isu 3R elak lebih serius, ganggu keharmonian negara

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) sekiranya tidak ditangani boleh mengganggu keharmonian dalam negara dan akan menjadi lebih serius jika dibiarkan berterusan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata perkara berkenaan diberikan perhatian tinggi khususnya hantaran yang dibuat menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja.

“PDRM memandang serius hal ini (isu 3R) dan kami akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman agama.

"Oleh yang demikian, PDRM menubuhkan satu pasukan siasatan khas dikenali Pasukan Siasatan Khas 3R diwujudkan sejak Mac lalu bagi menangani isu terbabit,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Minum Petang PDRM Bersama Media Sempena Aidilfitri di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, semalam.

Acryl Sani berkata siasatan kes melibatkan 3R dilakukan dengan pantas bagi menjamin keharmonian masyarakat di negara ini.

“Isu 3R perlu dihindari setiap masa dan setiap kertas siasatan berkaitan 3R perlu disiapkan dalam tempoh tujuh hari. Apabila berlaku kes seperti ini kita ambil tindakan pantas untuk menyiasat dalam memastikan pelaku dikesan dan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata ini adalah untuk memastikan supaya keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terpelihara dan kesejahteraan negara terjamin.

Acryl Sani berkata sebanyak 23 kes direkodkan pasukan petugas berkenaan bagi tempoh 22 Mac hingga 17 Mei lalu dengan 11 kes membabitkan penghinaan raja atau institusi diraja, empat mengenai agama dan lima mengenai kaum.

Menurutnya, tiga kes berjaya didakwa manakala dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut, sementara 18 lagi masih disiasat.

Pada 22 Mac lalu, PDRM menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes melibatkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja.

Pasukan itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.