ad
AGENDA

Orang ramai diminta hati-hati dengan tawaran badal haji murah

19 Mei 2023, 12:20 AM
Orang ramai diminta hati-hati dengan tawaran badal haji murah

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyarankan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji yang tumbuh bak cendawan dengan menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

MATA dalam kenyataan memaklumkan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR3,984 (RM4,819.79) hingga SAR 11,841 (RM14,325.08).

"Dengan kos yang dikenakan kepada penduduk tempatan seperti yang dinyatakan adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos tersebut.

"Rakyat Malaysia diminta tidak terpedaya dengan kos sedemikian yang ditawar oleh mereka," menurut MATA dalam kenyataan.

MATA berpendapat tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa kepada mereka yang menawarkan khidmat badal haji dengan harga tidak munasabah dan hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata dengan mengetepikan soal halal dan haram.

Persatuan itu turut mencadangkan agar kerajaan mengawal selia khidmat perniagaan badal haji mengikut perundangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan bukannya boleh dilakukan sesuka hati tanpa pengawasan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.