ad
ADN

ADN Seri Setia tangani isu kutipan sampah pukal, lif penduduk PPR

18 Mei 2023, 1:03 AM
ADN Seri Setia tangani isu kutipan sampah pukal, lif penduduk PPR
ADN Seri Setia tangani isu kutipan sampah pukal, lif penduduk PPR

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Masalah sampah pukal yang dihadapi penduduk PPR Lembah Subang 2 akan diatasi segera, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia.

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya sudah berhubung dengan  Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya telah berhubung dengan pihak KPKT, masalah ini timbul disebabkan kontraktor yang sepatutnya menjalankan penyelenggaraan dan kutipan sampah pukal ini masih belum dilantik.

"Selagi tiada lantikan (kontraktor penyelenggaraan), bukan saja isu sampah berulang tetapi juga masalah lain termasuk lif," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata KDEB Waste Management (KDEBWM) sudah menyelesaikan kutipan sampah domestik, manakala pihaknya meminta KPKT membuat kutipan sampah pukal sementara menunggu lantikan kontraktor.

[caption id="attachment_581912" align="aligncenter" width="763"] Lambakan sampah domestik dan pukal di PPR Lembah Subang 2 pada 17 Mei 2023 mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto Ihsan Persatuan Penduduk Blok D PPR Lembah Subang 2[/caption]

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Blok D PPR Lembah Subang 2 lega masalah yang membelenggu penduduk mendapat perhatian wakil rakyat.

"Kami lega selepas ADN berjanji mengambil tindakan atas isu tersebut, jika tidak masalah sampah ini akan terus berlarutan tanpa ada penyelesaian," kata Endi Susilo Tasiron.

Terdahulu, Halimey memenuhi undangan majlis hari raya anjuran persatuan penduduk berkenaan Sabtu lalu.

Beliau meluangkan masa beramah mesra bersama lebih 100 penduduk selain mendengar aduan daripada mereka.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung turut hadir.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.