SHAH ALAM, 17 MEI: Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah dijangka memimpin daurah ilmu sempena Festival Turath Islami Selangor yang diadakan di Perpustakaan Perbadanan Awam Selangor (PPAS) esok.
Dato’ Menteri Besar memaklumkan tokoh ulama antarabangsa tersohor itu dijadual hadir pada sesi dhuha daurah Kitab Al-Tariq Ila Allah (8.30 pagi) dan sesi maghrib pula daurah Kitab Al-Khariidah Al-Bahiyyah (7 malam).
“Insya-Allah esok bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum'ah bakal memimpin daurah ilmu sempena Festival Turath Islami Selangor yang julung kali diadakan.
“Majlis-majlis ilmu yang diadakan untuk manfaat rakyat Selangor serta menyuburkan syiar Islam di bumi Darul Ehsan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.
Festival Turath Islami Selangor dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan tentang kitab Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.
Festival tersebut menandakan permulaan terjemahan 10 jilid kitab itu buat kali pertamanya dalam bahasa Melayu serta merangkumi tujuh komponen termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.
Dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), festival ini menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.
Pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari https://www.turathislamiselangor.com/
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Program utama dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.