KUALA LUMPUR, 14 MEI: Tiada laporan penyelewengan dilakukan barisan Kabinet sepanjang enam bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Perdana menteri menganggap perkara itu satu kejayaan hebat ditunjukkan barisan menteri demi mengelakkan negara rugi dan dihina.
“Kalau orang tanya, apa hebatnya Kerajaan Perpaduan saya jawab hebatnya kerana pasukan pimpinan saya bertekad untuk menghentikan kerosakan amalan yang runtuh nilai dan menyebabkan negara rugi serta dihina dunia akibat amalan untuk perkayakan diri dan menyalahgunakan kuasa.
"Ini bagi saya kejayaan hebat orang di atas dan menteri di bawah. Ini bukan perkara kecil," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Konvensyen bertemakan Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia julung kali diadakan, yang menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.