AGENDA

Wanita Perpaduan lafaz lima tekad, tumpu perkasa kebajikan dan pentadbiran

14 Mei 2023, 6:54 AM
Wanita Perpaduan lafaz lima tekad, tumpu perkasa kebajikan dan pentadbiran

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Agenda pemerkasaan wanita dan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan itu dalam kumpulan membuat keputusan di setiap peringkat merupakan antara yang terkandung dalam Tekad Wanita Perpaduan yang dimeterai sempena Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan hari ini.

Dokumen tekad berkenaan ditandatangani lima pimpinan utama wanita, mewakili pimpinan wanita dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan, sebagai simbolik komitmen bersama-sama membawa dan menyokong tema Madani: Mengangkat Agenda Rakyat.

Ia ditandatangani Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) Aiman Athirah Sabu, Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fatimah Abdullah, wakil Wanita Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Flovia Ng dan Pemangku Ketua Wanita Parti Warisan Norfaizah Chua.

Dokumen berkenaan turut mengandungi tekad dalam memastikan wanita mendapat pembelaan dan perlindungan dari aspek kebajikan, pendidikan, keselamatan, sosial dan hak asasi manusia.

Selain itu, ia turut mengandungi tekad mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menjadi peneraju utama dalam pembangunan komuniti masyarakat Madani.

Majlis menandatangani dokumen tekad berkenaan disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia.

Terdahulu, bacaan ikrar tekad itu diketuai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri.

Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan yang dihadiri kira-kira 3,400 peserta daripada pelbagai parti itu merupakan sebahagian daripada agenda Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan sehari yang berlangsung hari ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.