KUALA LUMPUR, 9 MEI: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengajak orang ramai menonton filembiopik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, “Anwar: The Untold Story” yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei ini.
Menerusi catatan di Facebook, Fahmi berkata secara peribadi beliau berasa sebak melihat paparan perjalanan hidup Anwar yang dipertontonkan dalam filem tersebut.
“Melihat semula perjalanan penuh liku Datuk Seri Anwar dimainkan membuatkan kami semua sebak, apatah lagi ahli keluarga beliau yang menonton.
“Saya sarankan rakan-rakan untuk turun ke pawagam pada 18 Mei ini untuk saksikan tayangan hari pertama filem ini,” katanya yang menonton tayangan perdana filem berkenaan semalam.
[caption id="attachment_580357" align="aligncenter" width="739"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke tayangan perdana filem 'Anwar: The Untold Story' di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 8 Mei 2023. Foto Facebook Bernama[/caption]
Filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu antaranya dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan aktres Indonesia, Acha Septriasa sebagai isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.
Selain di Malaysia, filem yang membabitkan kos RM10 juta itu turut menjalani penggambaran di Indonesia. - BERNAMA