ad
AGENDA

SPAN: Selangor mudah terkesan El Nino tetapi tidak jejas bekalan air

5 Mei 2023, 9:28 AM
SPAN: Selangor mudah terkesan El Nino tetapi tidak jejas bekalan air

SHAH ALAM, 5 MEI: Selangor antara lapan negeri disenaraikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mudah dipengaruhi fenomena El Nino mengikut pengalaman antara 2015 hingga 2016.

Menurut suruhanjaya itu, negeri lain yang mungkin mengalami cuaca kering dan panas melampau mulai Jun ialah Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu menjangka bekalan air di Selangor tidak terkesan berdasarkan unjuran kapasiti empangan selain pengoperasian Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (HORAS) 600.

"Ketika ini, paras empangan utama di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan kebanyakan di Johor masih berada pada paras maksimum atau melebihi 90 peratus," katanya seperti dilaporkan.

SPAN turut meminta syarikat pengendali air untuk bersiap siaga dengan jentera dan alat kelengkapan bagi menjalankan pembaikan segera jika berlaku kerosakan di loji atau insiden paip pecah.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporannya menjangka kebarangkalian berlaku El Nino sekitar 57 peratus antara Jun hingga September dan meningkat kepada 62 peratus (September hingga November).

Fenomena itu berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus menyebabkan sistem iklim berubah kepada panas dan kering serta kurang taburan hujan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.