OLEH SHAMZ JOHAN
KUALA LANGAT, 5 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama pemimpin setempat di Medan Selera Persiaran Majlis di sini hari ini.
Beliau yang memilih masakan kampung turut diiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah, ADN Morib Hasnul Baharuddin dan ADN Banting Lau Weng San.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato' Amirul Azizan Dato' Sri Abd Rahim.
Pemimpin nombor satu negara itu sempat beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga yang teruja untuk bergambar dan bersalaman dengannya sebelum menunaikan solat Jumaat.
[caption id="attachment_579814" align="aligncenter" width="736"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama rakyat ketika makan tengah hari di Medan Selera Persiaran Majlis, Kuala Langat pada 5 Mei 2023 Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Menunaikan solat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, Anwar mendengar khutbah bertajuk ‘Adab bertamu ketika berpuasa’ yang disampaikan Imam Rawatib Rumaizi Ahmad.
Rumaizi dalam khutbahnya memberitahu jemaah diharuskan berbuka ketika berpuasa sunat jika boleh menyebabkan tuan rumah tersinggung kerana tidak menjamah makanan yang disediakan.
“Demikian juga, jika tuan rumah yang menjemput atau didatangi tetamu ketika sedang berpuasa sunat. Jika tetamunya keberatan menjamah kecuali tuan rumah turut makan bersama, maka lebih afdal tuan rumah berbuka dan makan bersama tetamunya.
"Menurut kitab Mughni al-Muhtaj, seandainya tuan rumah tidak tersinggung apabila tetamunya berpuasa sunat, maka lebih utama tetamu itu meneruskan puasanya," katanya.