ad
AGENDA

Polis jumpa tiga bom buatan sendiri di Jalan Klang Lama

2 Mei 2023, 11:24 AM
Polis jumpa tiga bom buatan sendiri di Jalan Klang Lama

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Polis menjumpai tiga paip plastik (PVC) yang diubah suai menjadi bom buatan sendiri di dalam sebuah kedai di Jalan Klang Lama selepas menerima laporan berhubung insiden letupan di premis itu awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfield ACP Amihizam Shukor berkata laporan berhubung insiden itu diterima pada kira-kira 6 pagi melalui panggilan telefon daripada pengawal keselamatan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan anggota polis telah menemukan tiga paip PVC berwarna putih yang telah diubah suai menjadi bahan letupan selain alat kawalan jauh yang digunakan untuk meletupkan bom berkenaan.

“Siasatan lanjut menemukan tiga kesan cap jari di lokasi kejadian dan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup berjaya mengesan pergerakan dua suspek lelaki di kawasan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta hadir ke balai polis berkenaan atau menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.