ad
AGENDA

Tekad 3.6 juta pekerja pemangkin Selangor sumbang 30 peratus KDNK

1 Mei 2023, 8:09 AM
Tekad 3.6 juta pekerja pemangkin Selangor sumbang 30 peratus KDNK
Tekad 3.6 juta pekerja pemangkin Selangor sumbang 30 peratus KDNK

SHAH ALAM, 1 MEI: Tekad hampir 3.6 juta pekerja di Selangor mampu menjadi pemangkin dalam mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dato' Menteri Besar berkata tekad sama bagi memastikan negara terus berkembang selaras dengan tema sambutan tahun ini 'Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani'.

"Hari Pekerja adalah detik dan waktu untuk meraikan usaha, ketekunan, dan kebertanggungjawaban warga pekerja Selangor yang telah membina dan memajukan negeri yang kita cintai ini," kata Dato' Seri Amirudin Shari menerusi perutusan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun.

"Saya menghargai komitmen berterusan pekerja daripada pelbagai sektor, sama ada penjawat awam negeri, penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Selangor, pekerja sektor swasta.

"Serta tidak dilupakan juga peranan ibu dan bapa yang mungkin tidak ditakrifkan sebagai pekerja tetapi mengambil tanggungjawab untuk mendidik dan membangunkan anak-anak demi melahirkan generasi muda yang berwawasan."

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada majikan yang mampu dan sentiasa memberi peluang kepada pekerja di negeri ini untuk menceburi pelbagai bidang dan sektor.

"Semoga usaha berganding bahu ini terus kekal dan mampu menambah kualiti hidup pekerja di Selangor dengan gaji yang setimpal dan berkembang seiring dengan pengembangan ekonomi negara.

"Mewakili Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada setiap pekerja di Selangor. Raikanlah dengan keluarga tersayang," katanya.

Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada 2021 sebanyak 24.8 peratus hasil kestabilan dan pengukuhan tadbir urus.

Selangor juga antara yang mendahului negeri lain dengan nilai KDNK berjumlah RM343.5 bilion berbanding RM327.1 bilion pada 2020.

Sebelum ini, Amirudin yakin Selangor mampu meningkatkan sumbangan untuk KDNK Malaysia kepada 30 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2026 didorong oleh projek seperti Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) serta Taman Perindustrian Pintar NCT (NCT).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.