ad
AGENDA

Menantu kejar ibu mentua, langgar polis wanita direman empat hari

1 Mei 2023, 6:56 AM
Menantu kejar ibu mentua, langgar polis wanita direman empat hari

KEMAMAN, 1 MEI: Lelaki yang mengejar kenderaan ibu mentuanya berusia 69 tahun sehingga melanggar anggota polis wanita di Jalan Dato Chukai, di sini semalam ditahan reman empat hari.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mengeluarkan perintah itu ke atas suspek berusia 51 tahun bermula hari ini.

Lelaki yang bekerja sebagai buruh sawit berkenaan sebelum itu dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret di sini, jam 9.10 pagi tadi, lapor Berita Harian.

Semalam, suspek ditahan polis di Ibok sekitar jam 2.15 petang kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dikatakan cuba memotong kereta ibu mentuanya sebelum dipercayai terlanggar Sarjan Marina Ahmad yang ketika itu sedang menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di Balai Polis Chukai dan menyebabkan mangsa patah tangan kiri.

Dia dikatakan bertindak memukul bahagian depan kereta Perodua Axia milik ibu mentuanya ketika mereka bertengkar dan siasatan awal polis mendapati punca kejadian dipercayai akibat perebutan harta.

Wanita berkenaan yang takut dengan tindakan menantunya terus memandu ke Balai Polis Chukai untuk menyelamatkan diri sambil dikejar lelaki terbabit sebelum Proton Saga dipandu suspek melanggar motosikal ditunggang Marina.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dipetik berkata, suspek gagal melarikan diri lebih jauh selepas kejadian kerana Proton Saga yang dipandunya mengalami kerosakan dan tersadai di tepi jalan.

Katanya hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan kerana khianat dan ugutan jenayah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.