ad
AGENDA

Enam individu nyaris maut kereta dihempap pokok tumbang

29 Apr 2023, 10:50 AM
Enam individu nyaris maut kereta dihempap pokok tumbang

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Enam individu nyaris maut selepas tiga kenderaan yang mereka naiki dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran susur masuk Lebuhraya MRR2 menghala ke Ampang, di sini ketika hujan lebat dan ribut hari ini.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, ketika kejadian enam mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa itu menaiki tiga kenderaan berasingan jenis Perodua Alza, Perodua Myvi dan Proton Exora.

Jurucakap berkenaan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.19 petang tadi sebelum menghantar sebuah jentera serta lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi ke lokasi kejadian.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan masing-masing dan berada dalam keadaan selamat.

"Bomba bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menjalankan kerja-kerja memotong, mengalihkan dan membersihkan pokok tumbang tersebut," katanya ketika dihubungi.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.