ad
BERITA UTAMA

200 keluarga mangsa ribut Sepang terima bantuan RM500

29 Apr 2023, 5:00 AM
200 keluarga mangsa ribut Sepang terima bantuan RM500
200 keluarga mangsa ribut Sepang terima bantuan RM500

SEPANG, 29 APRIL: Kira-kira 200 keluarga terjejas akibat ribut di Sepang pada 8 April lalu menerima sumbangan bernilai RM500.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan itu pelengkap kepada pakej bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri kepada mangsa.

“Bantuan dalam bentuk kewangan ini secara ‘one off’. Selebihnya bantuan daripada segi pembaikan bumbung dan sebagainya kita sudah selesaikan menjelang Aidilfitri atau 1 Syawal yang lalu.

“Hari ini sebahagiannya simbolik seramai 36 penerima dan selebihnya akan di buat secara berfasa oleh pejabat daerah dan pusat khidmat.

“Kita juga mengenal pasti ada gerai dan pekedai terkesan ketika kejadian ribut itu kira-kira 60 yang sudah dikenal pasti dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI (akan) berikan bantuan kepada mangsa terbabit,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis simbolik penyerahan bantuan kepada 36 mangsa ribut sekitar Sepang dari Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana di Dewan Komuniti Pulau Meranti di sini hari ini.

[caption id="attachment_576079" align="alignnone" width="779"] Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sepang meninjau keadaan rumah yang rosak akibat ribut di di Apartment Angsana, Pulau Meranti pada 8 April 2023. Foto Facebook APM Sepang[/caption]

Amirudin berkata Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membelanjakan lebih RM160,000 bagi kerja membaik pulih dan menukar bumbung rumah penduduk serta beberapa kemudahan lain yang rosak akibat ribut berkenaan.

“Pihak MPSepang membelanjakan lebih RM160,000 untuk tukar bumbung malah gantikan siling rumah yang terkesan dan juga menggantikan kipas di kawasan terkesan,” katanya.

Pada 8 April lalu, lebih 20 lokasi di sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana di Sepang, terjejas akibat ribut.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.