ad
AGENDA

Kejohanan Badminton Asia: Tang Jie- Ee Wei mara pusingan kedua, Kian Meng-Pei Jing kandas

26 Apr 2023, 4:33 AM
Kejohanan Badminton Asia: Tang Jie- Ee Wei mara pusingan kedua, Kian Meng-Pei Jing kandas

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka kempen Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan langkah kanan selepas menewaskan beregu Korea Selatan Kim Won Ho-Jeung Na Eun.

Gandingan negara di ranking ke-22 itu mengejutkan pasangan ke-10 dunia dengan kemenangan mudah 21-14, 21-13 dalam 34 minit pertarungan berlangsung di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan wakil Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada pusingan kedua, yang terdahulu mengenepikan pasangan Jepun Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-17 dan 21-16.

Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang turut mara ke pusingan kedua, bagaimanapun terpaksa bermandi peluh apabila diheret bermain dalam set penentuan sebelum menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan.

Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking kelapan dunia dikejutkan apabila tewas set pertama 15-21 sebelum bangkit pada set kedua 22-20 sebelum mengenepikan gandingan Taiwan di ranking ke-23 21-15, sekali gus menempah pertemuan dengan pasangan ranking ke-51 dari China Cheng Xing-Chen Fang Hui.

Namun, nasib berbeza buat satu lagi beregu campuran negara apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan terpaksa menamatkan perjuangan pada edisi kali ini selepas tewas kepada wakil China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 21-13.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.