ad
AGENDA

Tiga beradik lemas ketika mandi di pantai bersama saudara

23 Apr 2023, 3:15 PM
Tiga beradik lemas ketika mandi di pantai bersama saudara

SEREMBAN, 23 APRIL: Kegembiraan empat beradik berkelah bersama saudara mereka sempena cuti Aidilfitri bertukar tragedi apabila tiga beradik wanita lemas ketika mandi manda di Pantai Cahaya, Port Dickson, dekat sini, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Penolong Penguasa Bomba, Azizee Alias, berkata ketiga-tiga mangsa bersama adik lelakinya dari Banting, Selangor dan seorang saudara lelakinya dari Perak datang berkelah ke pantai itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Teluk Kemang dikejarkan ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, tiga beradik itu ditemukan lemas manakala adik lelaki mangsa dan saudara lelaki mereka diselamatkan orang awam dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan.

“Mayat ketiga-tiganya ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai. Ketika kejadian, air pasang dan agak bergelora. Saya juga dimaklumkan kawasan berkenaan adalah kawasan larangan mandi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.