SHAH ALAM, 22 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa bersiap siaga memastikan operasi loji rawatan air (LRA) serta bekalan berada dalam keadaan baik bagi memenuhi keperluan pengguna.
Menurut agensi itu pihaknya tetap berdedikasi di tapak tidak mengira hari dan masa termasuk di hari pertama Aidilfitri dengan melaksanakan rondaan dan kerja pemantauan keadaan sungai utama Selangor.
"LUAS sentiasa siap siaga memastikan sebarang permasalahan kualiti air mentah dielakkan dan diatasi dengan segera.
"Ini supaya operasi LRA dan bekalan air tidak terganggu dan tidak menjejaskan keperluan harian rakyat terutama ketika sambutan Aidilfitri ini," katanya di Facebook.
[caption id="attachment_578052" align="aligncenter" width="735"] Anggota Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menguji tahap kualiti air sungai di tapak lapangan berdasarkan kiriman Facebook LUAS pada 22 April 2023[/caption]
Sebelum ini, EXCO alam sekitar berkata Ops Sumber Air 24 jam terus dilaksana dan dipertingkat supaya sebarang permasalahan kualiti sumber air dicegah dan diambil tindakan segera.
Menurut Hee Loy Sian operasi tanpa henti oleh LUAS dijalankan di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat meliputi rondaan serta pemantauan statik.
Umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini setelah diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, kelmarin.
Cerapan anak bulan Syawal dilaksanakan petang kelmarin di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.