SHAH ALAM, 22 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari ini.
Baginda yang mengenakan sepersalinan baju melayu berwarna ungu tiba kira-kira jam 8 pagi untuk bersama kira-kira 5,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Turut mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta beberapa barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan Pengurus dan Imam I Abas Mohamad Yusof manakala Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir bertindak sebagai khatib.
[caption id="attachment_578057" align="aligncenter" width="775"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 22 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, baginda kemudian beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda.
Baginda turut berkenan bersantap juadah Aidilfitri bersama tetamu di dewan makan masjid berkenaan sebelum berangkat pulang pada jam 10 pagi.